28/07/2013

Cerpen: NKC part 1



Nota Kecil Cinta 
Part 1


“Ayah bukan mahu melepaskan kamu, tapi ayah rasa amanah yang diberikan oleh sahabat ayah ni agak berat, untuk mengubah anaknya dan ayah fikir kenapa bukan melalui cinta kamu boleh mengubahnya, sepertimana Nabi Yusuf berjaya mengubah Siti Zulaikha”.

Permintaan ayah kepada aku berat sekali kali ini. Apatah lagi aku membawa amanah dari ayah dan yang lagi besar dari Allah, Khaliqul Alamin, agar membimbingnya lebih mengenal erti hidup. Semoga aku berjaya meraih redhaNya dengan membimbingmu, Adam Rashidi bin Zahri. Justeru aku bersetuju menjadi suri hidupmu demi mencapai redhaNya.

Syahira Hanani binti Ibrahim termenung sendiri. Mungkin memikirkan nasibnya yang terlalu parah untuk dikenangi, terlalu teruk untuk diperbaiki. Akhirnya, dia meraup muka,“In shaa Allah, andai aku redha dengan ketetapan Allah ini, akan ada hikmahNya, cuma bersabarlah jiwa. Akan ada nanti. Akan ada”, bisik hatinya. Puan Roha tersenyum melihat anaknya yang sudah siap diandam. Manis sekali. Dia terus meluru ke katil yang sudah dihias dengan begitu rapi.

“ Senyumlah, anak mak. Jangan pernah lupa, sekalipun apa yang kita alami kita tak suka, mesti ada hikmah kenapa Allah takdirkan begini. Barangkali apa yang kita tak suka tu adalah yang terbaik untuk kita, dan boleh jadi juga yang kita suka tu bukannya yang terbaik untuk kita. In shaa Allah ada baiknya. Percayalah.”
Syahira mengumpul semangatnya kembali. Dia tahu disebalik kemahuan ayahnya, tersimpan satu harapan yang baru. Matanya ditutup kemas. Tangannya digenggam. Tiada lagi kesedihan pada jiwanya, malah diganti pula dengan semangat yang baru.
“Lillahi Ta’ala, aku ingin mengahwininya demi mengubahnya, In Shaa Allah.Ya Allah, kau kuatkan hatiku”.
Suara tetamu yang hadir bergema di telinganya. Ibunya mengangguk sambil menghulur tangan. Mereka semua akan menuju ke masjid yang hanya terletak di atas bukit selang beberapa buah rumah dari rumah Syahira. Di sana rombongan lelaki sudah sampai. Hati Syahira sudah tepu dengan debaran. Disebalik purdahnya, terlindung segala-galanya. Tangisannya dan semangatnya. Ibunya mengenggam erat tangannya dan menyeka air mata yang mengalir.
*****
Rashidi berlari secepat mungkin. Hujan yang turun secara tiba-tiba mendorongnya untuk masuk ke sebuah kedai buku. Sudah ramai yang berhimpit di dalam kedai itu, namun mungkin tidak ada yang sekuyupnya. Matanya sekejap diangkat sekejap dialihkan ketepi. Akhirnya tertumpu pada satu rak buku yang kelihatan lebih menyerlah pada matanya. Terus langkah diatur dan matanya menangkap sebuah buku. ‘Kenangan Manis Bersama Rasulullah.’ Mesti Shira suka baca ni. Buku itu terus dicapai dan dia meluru ke kaunter pembayaran. Hatinya berbunga. Entah sejak bila dia mula meminati setiap butir kalimah yang keluar dari bibir isterinya itu. Syahira Hanani binti Ibrahim, seorang gadis yang belum pernah didekati. Hanya kertas kuning yang menjadi perantara komunikasi mereka. Walaupun tinggal satu rumah, namun bagaikan masing-masing terlalu sibuk. Rindunya pada Syahira tidak akan diluahkan. Dia cukup tidak pandai menghuraikan isi hatinya. Sekalipun benar-benar mahu berjumpa, dia hanya pendamkan sahaja.

Tangga bus double decker itu dipanjatnya. Begitulah kehidupan di kota Dublin. Bas tidak akan menunggu kita. Tak seperti sesetengah bas yang tidak tepat pada masanya seperti di negara kita. Bahunya ditepuk, sekilas dia memandang kearah belakang. Senyuman manis sahabatnya yang sudah bertudung litup itu dipandang. Ima makin manis namun, mungkin Syahira mesti lagi manis, walau disebalik purdahnya!.

“Ima? Kau buat apa? Mana Shira?”, senyuman yang membugar dapat ditangkap Ima. Dia tahu, andai Rashidi pernah melihat wajah isterinya itu, pasti dia lagi tidak keruan. Itulah silapnya Rashidi, wajah isteri sendiri belum pernah dilihatnya. Walau sudah tiga bulan dia bergelar suami pada Syahira.

“Shira ada dekat rumah aku la. Aku tak nak bagi kau. Biar dia duduk dengan aku je.”

Rashidi menjuihkan bibirnya. Kesibukannya menyebabkan dia terpaksa membiarkan Syahira tinggal bersama sahabatnya itu, kerana dibimbangi tiada yang akan menjaganya. Maklum sahajalah, dia adalah pelajar tahun akhir tambah pula mengenangkan walidnya. Tangannya diseluk kedalam beg yang digalasnya.

“Nanti kau bagi kat Shira tau. Erm, kirim salam sayang dari aku.”, senyuman yang manis dihadiahkan buat Ima. Ima menahan gelak. Amat cocok. Yang lelaki dengan speknya, dan yang perempuan dengan lesung pipitnya. Bilalah boleh dapat mereka keluar bersama!

“Oh, nanti aku cakap, Shira, ni ada hadiah dari abang Adam. Dia kirim salam sayang buat Shira. Sambil senyum sampai telinga, boleh?”

“Kau ni! Betul-betul la. Kau jangan cakap aku menggedik pulak!” tiba-tiba sahaja wajah Rashidi merona merah. Belum pernah dia bercakap soal cinta selepas dipermainkan oleh seorang gadis satu fakulti dengannya dahulu, Mira.

****

Syahira memandang wajah Ima. Subhanallah, Ima sangat manis. Ima yang pertama kali memakai tudung labuh itu menunduk mukanya. Sungguh segan dengan keadaan itu.

“Malula, Shira. Nanti apa orang cakap pada Ima?, Ima ni dah la banyak dosa. Konon nak bertudung labuh pulak.”

“Ima, kenapa nak malu jika niat kita benar. Manusia memang dijadikan sebagai pengkritik. Kerana itu, mustahil untuk kita lepas dari kritikan orang. Biarlah apa orang nak kata pada kita, Ima. Sesungguhnya, apa yang kita wajib pedulikan adalah hak Allah kita tepati atau tidak. Ada satu cerita, Rasulullah bersama sahabatnya dikritik hebat. Sahabat Rasulullah dicerca di hadapan Rasulullah. Namun, Rasulullah hanya berdiam diri. Setelah sahabat tidak tahan, sahabat mencerca kembali musyrikin. Rasulullah yang asalnya berwajah manis memasamkan mukanya. Setelah itu, sahabat bertanya, Ya Rasulullah, mengapa kamu sanggup melihat kami dicerca?, sedangkan kami semua dicerca di hadapanmu. Rasulullah menjawab, “aku berdiam diri kerana aku gembira ketika kamu bersabar, sedang mereka mencercamu, Malaikat mencerca mereka demimu, namun, setelah kamu mencerca mereka kembali, malaikat telah berlalu meninggalkanmu.”

Kata-kata yang amat bernilai itu keluar lagi. Bagaimana mungkin adanya manusia semurni Syahira Hanani? Bagaimana?
Handset Ima yang bergetar pinta diangkat. Hurm! Rashidi call lagi, rindu kat Shira la ni?, desis hati kecilnya. Senyuman manis terus diukir.

“Assalamuaalaikum, ye encik Rashidi?Shira ada ni, rindu dia ye?”, matanya dialihkan pada Shira dengan senyuman manis

“Wa’alaikumussalam, Rashidi kat hospital ni. ICU. Kau bawak isteri dia sekali ok?”

“Baiklah”, dada Ima berombak kencang. Shira hairan dengan wajah Ima yang berkerut serta merta.

“Di kat hospital. Jom siap-siap pergi sana.” Kaki Shira kaku. Tiba-tiba semangatnya luruh

No comments: